Kolam tadahan 40.47 hektar atasi banjir di Sungai Rambai
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 09/01/2012 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 5597
JASIN 8 Jan. - Penduduk sekitar Sungai Rambai boleh menarik nafas lega apabila masalah banjir yang sering menghantui mereka akan dapat diatasi dengan pembinaan kolam tadahan seluas 40.47 hektar di Paya Rambut di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, kolam tadahan yang kini 70 peratus siap itu dijangka beroperasi pertengahan tahun ini.
"Kerja-kerja berjalan lancar. Di samping itu, kerja meninggikan benteng sehingga 1.5 meter sepanjang Sungai Kesang kini giat dilakukan bagi membendung masalah banjir yang kerap berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Gegar Kampung 1Malaysia bersama Sherwan di Laman Belia 1Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan membina lima pintu air di empangan Sungai Kesang bagi melancarkan pengaliran air ke laut terutamanya ketika banjir.
"Empangan tersebut sudah mempunyai lima pintu air, namun penambahan lima lagi pintu air akan memastikan kelancaran air mengalir ke laut terutama ketika hujan lebat dan sewaktu berlaku air pasang besar," katanya.
Sementara itu, Hasan berkata, program tajaan syarikat rempah Sherwan dengan kerjasama Melaka FM itu julung kali diadakan dalam usaha mendekatkan penduduk kampung sekitar dengan aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, ia dapat memperkasakan semangat 1Malaysia di samping memperkenalkan gaya hidup sihat kepada masyarakat menerusi pemakanan seimbang menggunakan rempah masakan Sherwan.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut termasuklah menanam pokok, pertandingan masakan antara kampung, karaoke dan senaman.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sherwan, Nurul Aiza Izwana Jasni mensasarkan produk keluaran syarikatnya tersebut meningkat sehingga 70 peratus sepanjang program berkenaan berlangsung tahun ini.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 9/1/2012)