Mangsa banjir terima wang ihsan dikenal pasti
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 10/01/2012 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 12637
KUCHING 9 Jan. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti dan mengumpul maklumat jumlah mangsa yang terlibat dengan banjir di negeri ini baru-baru ini untuk menerima bantuan wang ihsan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, wang ihsan itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terlibat dengan bencana alam itu.
\'\'Ramai orang keliru dengan bantuan wang ihsan ini dan ada pula yang salah faham dengan beranggapan ia merupakan wang pampasan banjir," katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Open University Malaysia (OUM) dengan Denver Consulting Sdn. Bhd., di Dewan Medan Pelita, di sini semalam.
Fatimah memberitahu, seramai 31 keluarga yang terjejas akibat banjir di Pantu, Sri Aman pada 25 Disember tahun lalu akan menjadi kumpulan pertama dijadualkan menerima wang ihsan daripada MKN.
Bagaimanapun katanya, disebabkan bencana banjir turut berlaku di beberapa kawasan lain pada hari yang sama menyebabkan pemberian wang ihsan berkenaan terpaksa ditangguhkan sebelum statistik terkini diserahkan kepada MKN untuk tindakan lanjut.
\'\'Bagaimanapun, tempoh kelulusan permohonan pemberian wang ihsan itu terpulang kepada MKN kerana ia di luar bidang kuasa JKM.
\'\'JKM akan memastikan mangsa banjir memperoleh bantuan bekalan makanan selama tiga hari untuk sebuah keluarga manakala yang terputus hubungan dengan dunia luar, jabatan tersebut akan menyediakan bekalan makanan hingga banjir di kawasan itu pulih," ujarnya.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 10/1/2012)