Penduduk bimbang tebing runtuh
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 18/01/2012 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 33154
PASIR PUTEH 16 Jan. - Pengguna Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini diancam bahaya apabila jambatan di Kampung Sungai Kelong dekat sini diancam tebing runtuh berikutan banjir kilat yang berlaku semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mukim Kampung Wakaf, Mat Razak Jusoh berkata, keadaan itu lebih merbahaya bagi penunggang motosikal yang melalui jalan berkenaan pada waktu malam.
"Beberapa penunggang motosikal sebelum ini telah mengalami kemalangan apabila kenderaan yang dinaikinya terjatuh ke dalam lubang di jalan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Mat Razak berkata, hakisan dipercayai berlaku apabila sampah-sarap dan batang-batang kayu yang dihanyutkan dari kawasan sekitar dan Bukit Batu Bala, tersangkut pada jambatan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga (RT), Kampung Sungai Kelong, Wan Deraman Wan Adam pula berkata, beliau ada memacakkan batang kayu di jalan itu sebagai tanda amaran, tetapi ia tidak berkesan pada sebelah malam.
Beliau turut kesal dengan kegagalan pihak berkenaan membersihkan sampah sarap di bawah jambatan itu mengakibatkan jambatan itu kerap ditutup akibat ditenggelami banjir kilat yang turut menjejaskan lebih 30 buah rumah di kawasan berdekatan.
"Pada awal tahun ini, sudah empat kali penduduk di situ mengalami banjir kilat sehingga ada yang terpaksa berpindah," katanya.
Wan Deraman berkata, sudah sampai masanya jambatan usang yang dibina 60 tahun lalu itu diganti demi keselamatan pengguna.
(Petikan Utusan Malaysia Online - 17/1/2012)