JPAM sasar daftar 6,000 sukarelawan di Perlis
Disediakan Oleh : Pentadbir Bencana
Tarikh Kemaskini : 14/03/2012 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 33387
KANGAR: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyasarkan pengambilan 6,000 anggota sukarelawan baru di Perlis sepanjang tahun ini bagi memperkasakan operasinya.
Pengarah JPAM Perlis, Mejar (PA) Ishak Mohd Radzi, berkata penambahan anggota sukarelawan baru itu sudah pasti akan melonjak keupayaan operasinya yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Berucap pada majlis makan malam JPAM Perlis bersama Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini malam tadi, beliau berkata pada masa ini jabatan itu berjaya mendaftar kira-kira 12,000 anggota sukarelawan namun yang aktif hanya antara 300 dan 400 orang saja.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan tindakan pantas anggota sukarelawan yang aktif di seluruh Perlis yang lebih pantas berada di lokasi menyelamat terutama semasa banjir.
Sepanjang tahun lalu, JPAM Perlis merekodkan 1,800 kes yang kebanyakannya kes menyelamat dan bencana berjaya ditangani serta diberi bantuan.
Selain pengambilan anggota sukarelawan yang baru, JPAM Perlis juga meletakkan sasaran untuk memberi latihan siap siaga awam kepada sebanyak 6,000 peserta sepanjang tahun ini.
Antara kumpulan awam yang menyertai latihan itu ialah 17 anggota KEMPs yang menjalani latihan mencabar menuruni bangunan tinggi menggunakan tali di Pusat Pertahanan Awam di sini, semalam.
Katanya, program latihan untuk anggota media di Perlis bukan sekadar mendedahkan mereka dengan kegiatan menyelamat tetapi juga untuk mendekatkan media dengan peranan dan tanggungjawab JPAM. - BERNAMA
(Petikan Berita Harian Online - 14/3/2012)