KEMAMAN 23 Dis. – Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di pesisir pantai Kemasek berada dalam kebimbangan dan cemas apabila ombak kian menghampiri penempatan mereka setelah kawasan pinggir pantai semakin banyak terhakis ekoran fenomena air pasang besar.
Ombak yang semakin besar sehingga mencecah ketinggian empat meter malam tadimemusnahkan jalan raya sepanjang satu kilometer yang memutuskan perhubungan penduduk dengan kampung sekitar.
Kejadian yang bermula hampir pukul 9 malam tadi memaksa mereka dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap-sedia untuk berpindah pada bila-bila masa berikutan keadaan cuaca semakin buruk.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati penduduk sibuk memindahkan barangan dan kelengkapan rumah kerana bimbang kediaman mereka akan dimasuki air laut berikutan kemungkinan ombak besar berulang malam ini.
Suri rumah, Johana Ismail, 36, memberitahu, dia sekeluarga telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kemasek apabila ombak besar belum reda sehingga tengah malam dan air laut mula memasuki rumah dan menghancurkan barangan di ruang tamu.
“Saya sangat bimbang kerana jarak pantai dengan rumah semakin dekat. Malam ini pula dikhabarkan ombak besar akan melanda sekali lagi. Jika berlaku lagi memang rumah saya akan rosak atau hilang begitu sahaja,” katanya.
Pesara tentera, Mohamad Tahir Muharam, 63, pula berkata, penduduk kampung berusaha membina benteng menggunakan beg pasir sebagai persediaan, namuntidak berupaya menghalang pukulan ombak besar.
“Ombak datang dengan bunyi yang sangat menakutkan. Saya bimbang sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini, seluruh kawasan di sekitar pantai ini akan tinggal nama sahajadan tapak rumah kami berada di dalam laut,'' ujarnya.
Tahir berkata, dia sekeluarga telah memindahkan barangan ke tempat yang lebih selamat kerana bimbang kediamannya akan musnah sama sekali sekiranya fenomena ombak yang dijangka lebih besar berlaku malam ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir Rosli Othman ketika dihubungi menasihatkan penduduk supaya berpindah ke pusat pemindahan terdekat untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Kita akan menilai kerosakan dan perbincangan mengenai segala kerja pembaikan akan dilakukan selepas musim tengkujuh berakhir kerana tidak mungkin perkara itu boleh dilakukan sekarang,''ujarnya.