Paras air Sungai Golok menurun, masih di tahap bahaya
Disediakan Oleh : MUAZ BIN RUSHDAN
Tarikh Kemaskini : 21/12/2020 [ 00:00:00 ]
Jumlah Capaian: 227
Oleh Syaherah Mustafa - Disember 21, 2020 @ 12:41pm
bhnews@bh.com.my
RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok masih melebihi tahap bahaya walaupun menunjukkan trend menurun sejak malam tadi.
Tinjauan mendapati, air membanjiri jalan utama di Pintu Satu, Pusat Pemeriksaan Jabatan Kastam ke Rantau Panjang sudah surut sepenuhnya.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 9 pagi ini, paras air sungai mencatat bacaan 10.38 meter, menurun berbanding semalam, iaitu 10.45 meter pada waktu sama.
Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata paras air sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah, masih melebihi paras waspada dan Sungai Golok akan meningkat akibat aliran air sungai terbabit.
"Sebenarnya, paras Sungai Golok bergantung kepada keadaan di Sungai Jenob, yang memberi aliran air, sekali gus memberi kesan pada paras sungai, selain faktor taburan hujan.
"Selain itu, cuaca di Rantau Panjang mendung menyebabkan air lambat surut, malah jalan utama ke pekan masih digenangi air walaupun sedikit surut hari ini.
"Kerja menyelamat penduduk giat dijalankan semalam, termasuk membawa pesakit terperangkap di kawasan banjir ke hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Imran berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
"Pihak kami membuat kawalan ketat di dalam kawasan balai bomba dengan hanya anggota bertugas dibenarkan masuk, manakala orang ramai perlu parkir kenderaan di tempat ditetapkan untuk sebarang urusan.
"Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sentiasa bersedia membantu masyarakat sepanjang musim tengkujuh ini," katanya.
Sumber: Berita Harian Online